Assalamualaikum dan salam sejahtera bagi yang bukan islam , selamat datang ke blog saya , semoga anda terhibur dengan blog saya :) ^^
Sabtu, 7 September 2013
Maksud Sikap CEMBURU Dalam Islam Dan Cara Mengubatinya
Beberapa tabloid pernah mengemukakan kisah “perang saudara” di antara
isteri-isteri yang hidup dalam suasana poligami, di mana ada yang
mencurah asid, menikam dengan pisau dapur dan mengejar antara satu sama
lain. Aksi-aksi cemburu seperti ini menjadi topik perbualan serta gelak
ketawa di kalangan masyarakat. Demikianlah sifat sebahagian media cetak ,
ia tidak mendidik pembacanya ke arah ilmu yang bermanfaat, sebaliknya
merendahkan pembacanya kepada perbuatan-perbuatan yang menyelisihi ilmu,
norma sihat dan etika mulia.
Sebenarnya cemburu tidak sekadar
berlaku di antara isteri-isteri yang hidup di alam poligami. Ada isteri
yang cemburu apabila suaminya berbuat baik kepada ibu atau adik
perempuannya. Ada suami yang cemburu apabila isterinya melayan tetamu
minum petang terlebih baik daripada melayan dirinya. Ada abang yang
cemburu apabila adiknya menerima hadiah daripada ibubapanya. Justeru
cemburu adalah sesuatu yang lazim berlaku. Hanya ia lebih sensasi jika
berlaku di kalangan mereka yang hidup di alam poligami.
Maksud Cemburu.
Secara mudah, cemburu bererti reaksi seseorang apabila sesuatu yang
memiliki kepentingan bagi dirinya disaingi atau dicabar. Reaksi tersebut
boleh jadi perasaan yang benci dan marah, boleh juga diterjemahkan
kepada perbuatan fizikal seperti memecahkan atau membaling barang.
Cemburu ada yang terpuji, iaitu benci dan marah kepada orang yang
menyembah tuhan selain Allah, mengamalkan cara hidup selain dari apa
yang Islam gariskan dan menukar-nukar ajaran Islam dengan tafsiran
tersendiri. Perasaan cemburu seperti ini lahir kerana Allah dan Islam
berada dalam posisi yang penting dalam diri seseorang. Apabila ia
disaingi atau dicabar, maka lahirlah rasa cemburu.
Reaksi cemburu
ini seterusnya diterjemahkan kepada perbuatan mengajak orang kepada
menyembah Allah (dakwah), mencegah kemungkaran yang sedang berlaku (nahi
mungkar) dan membela ajaran Islam yang tulin agar masyarakat tidak
terpengaruh dengan ajaran sesat.
Termasuk sifat cemburu yang terpuji
ialah apabila seorang suami memantau pakaian dan pergaulan isterinya
agar sentiasa menepati tunjuk ajar Islam. Suami yang membiarkan
isterinya tanpa menutup aurat, bergaul bebas dengan lelaki asing, tidak
mendirikan solat dan sebagainya dicela oleh Rasulullah sebagai lelaki
dayus. Baginda menegaskan:
“Tiga (jenis orang) yang Allah
haramkan syurga ke atasnya: orang yang ketagih arak, orang yang
menderhaka kepada ibubapanya dan orang yang dayus – iaitu orang yang
membiarkan maksiat dilakukan oleh ahli keluarganya.” [Musnad Ahmad, no:
6113 dan dinilai sahih oleh Syu’aib al-Arna’uth]
Berdasarkan
hadis ini, jika seorang isteri itu memiliki suami yang prihatin memantau
aktivitinya, maka ia adalah sesuatu yang terpuji. Janganlah pula
merungut kerana suami demikian melaksanakan tanggungjawabnya, berbeza
dengan suami yang dayus.
Cemburu Yang Tercela.
Di sebalik
cemburu yang terpuji, ada cemburu yang tercela. Ia merujuk kepada reaksi
benci dan marah yang timbul atas sebab-sebab duniawi. Satu contoh
cemburu yang tercela ialah seorang isteri yang cemburu apabila suaminya
membelikan hadiah tas tangan kepada ibunya. Berbuat baik kepada ibubapa
dituntut oleh Islam dan reaksi cemburu yang lahir dalam hati isteri
adalah kerana sebab duniawi, iaitu dia merasakan dirinya dinombor
duakan, di bawah ibu suaminya semata-mata kerana pemberian hadiah
tersebut.
Cemburu yang tercela tidak sahaja dikaitkan dengan para
wanita atau isteri. Ia juga boleh dimiliki oleh para lelaki dan suami.
Suatu kisah, ada seorang lelaki yang sangat pencemburu sehingga dia
melarang isterinya menghadiri kuliah agama atau bertanya soalan agama
kepada para ustaz. Akhirnya minat isterinya ke arah agama terhalang oleh
suaminya yang pencemburu. Ini tentu saja satu sifat cemburu yang amat
tercela.
Mengubati Penyakit Cemburu.
Hati yang dijangkiti penyakit cemburu yang tercela boleh diubati dengan beberapa tips berikut:
Pertama: Hendaklah disedari bahawa apa yang diperolehi oleh seseorang,
maka Allah jua yang memberikannya. Jika suami memberikan tas tangan
kepada ibunya, maka Allah yang sebenarnya memberi sementara suami hanya
berperanan sebagai perantara yang menyampaikannya. Maka cemburu sehingga
benci dan marah bererti membenci dan memarahi Allah.
Oleh kerana itulah Allah mengingatkan kita:
“Dan janganlah kamu iri hati terhadap apa yang dikaruniakan Allah
kepada sebahagian kamu lebih banyak dari sebahagian yang lain. (Karena)
bagi orang laki-laki ada bahagian daripada apa yang mereka usahakan, dan
bagi para wanita (pun) ada bahagian dari apa yang mereka usahakan, dan
mohonlah kepada Allah sebagian dari karunia-Nya. Sesungguhnya Allah Maha
Mengetahui segala sesuatu.” [al-Nisa’ 4:32]
Kedua: Kita sesama
umat Islam, sesama mukminin dan mukminat hendaklah tumpang gembira
apabila saudara kita memperolehi sesuatu. Kita bergembira untuknya
seolah-olah kita sendiri yang mendapat kelebihan tersebut. “I am happy
for you” bukan sekadar slogan masyarakat Barat tetapi juga sesama umat
Islam. Rasulullah bersabda:
“Tidaklah (sempurna) iman seseorang
kalian sehinggalah dia mencintai untuk saudaranya apa yang dia cintai
untuk dirinya.” [Shahih al-Bukhari, no: 13]
Justeru ciri seseorang
yang beriman ialah dia tidak cemburu atas kelebihan yang diperolehi oleh
saudara seislamnya, tetapi dia turut bergembira. Berdasarkan hadis ini
mungkin ada yang berkata: “Imanku belum cukup sempurna untuk aku
mencintai bagi saudaraku apa yang aku cintai untuk diriku.” Maka alasan
ini diperbetulkan dengan nasihat: “Cintailah untuk saudaramu apa yang
kamu cintai bagi dirimu, nescaya kamu akan merasai kemanisan dan
pertambahan iman di dalam dirimu.”
Ketiga: Syaitan suka
menghasut manusia ke arah sifat yang tercela, termasuklah sifat cemburu
yang tercela. Dengan hasutan tersebut, syaitan dapat menjadikan kita
lupa kepada peranan Allah yang sebenarnya memberi serta bermusuhan
sesama umat Islam. Oleh itu apabila sahaja terlintas bisikan cemburu
yang tercela di dalam hati, segeralah menolaknya dengan membaca
"A’uzubillahi minash syaitan nirrajim."
Hadis berikut menjadi rujukan:
A’isyah menerangkan pada satu malam baginda keluar dari rumahnya dan
ini menyebabkan dia merasa cemburu. Kemudian Rasulullah kembali ke rumah
dan mendapati dia sedang dalam keadaan yang cemburu. Lalu baginda
bertanya:
“Apa jadi kepada kamu wahai A’isyah? Adakah kamu cemburu?”
“Takkanlah aku tidak cemburu kepada orang sepertimu?”
Kemudian Rasulullah melanjutkan: “Apakah telah datang kepadamu syaitan kamu?”
“Wahai Rasulullah! Apakah bersama aku ada syaitan?”
“Ya.”
“Dan (apakah syaitan itu ada) pada setiap manusia?”
“Ya.”
(Apakah syaitan juga) bersama kamu wahai Rasulullah?”
“Ya, akan tetapi Tuhanku telah menolongku darinya sehingga aku selamat dari gangguannya.”[Shahih Muslim, no: 5035]
Langgan:
Catatan (Atom)